Tuesday, March 3, 2015

TOKOH PERJUANGAN PAHANG DARUL MAKMUR

DATO' BAHAMAN 

DATO' BAHAMAN
Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato' Bahaman ialah Orang Besar yang menentang penjajah British di Semantan, kawasannya di negeri Pahang, Tanah Melayu.Dato Bahaman ialah anak kepada Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Sumatera, dan Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Bahaman digelarkan 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.
Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 DOLLAR  setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.



MAT KILAU

MAT KILAU

Mat Kilau (1847-1970) merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu atau Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai "Dikir Pahang". Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.



Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, dari Kampung Kedondong. Imam Daud adalah seorang guru agama yang disegani di daerah Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan juga merupakan guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakanya. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Hj.Uthman bin Senik) yang merupakan mufti Pahang ketika itu.
Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini. Menurut beberapa pendapat orang-orang lama, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Atas dasar pungutan cukai yang menindas dan keangkuhan pihak penjajah, Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut bersekutu berganding bahu memulakan pemberontakkan ke atas pihak British. Namun begitu, pihak pemberontak tidak mendapat sokongan Sultan terhadap pergerakkan penentangan British pada masa itu. Sultan yang pada masa itu hanya mementingkan darjat dan talian persahabatan dengan pihak British sanggup mengkhianati bangsa dan rakyatnya sendiri bagi mematahkan pemberontakkan di Semantan.

Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Pawang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.




3 comments:

  1. Saya pernah dengar cerita mengenai seorang yg boleh dikatakan pahlawan pahang yg berasal dari merchong yg bernama Tok Kancil. Adakah cerita tentang beliau dlm sejarah pahang ini

    ReplyDelete